Menyingkap Tabir Qalbu

Sepanjang perjalanan ku ke Wonosobo, aku lebih banyak berdiam diri. Duduk sendirian. Tidak sepetah dan tidak semesra biasa seperti waktu aku bersama student-student ku di kolej. Bukan kerana sombong. Tetapi entah mengapa .... suasana di bumi Keraton tempat asal datuk ku menjemput memori bersama arwah datuk ku bertamu ..... Pesanan-pesanan arwah datuk ku datang menerjah satu persatu di minda ku. Antara pesanannya yang datang bartandang ............

Matlamat manusia dijadikan ALLAH dimuka bumi dan tuntutan agama

*************************

Ketahuilah oleh mu, bahawa agama itu terdiri dari dua perkara :



Pertama : Meninggalkan maksiat
Kedua : Mengerjakan taat

Meninggalkan maksiat itu adalah lebih berat dari mengerjakan ketaatan kerana mengerjakan ketaatan adalah mudah bagi setiap orang tetapi meninggalkan maksiat yang disukai oleh syahwat dan nafsu hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin.

Sesungguhnya, matlamat manusia dijadikan ALLAH di dunia ialah untuk menjadi hamba NYA. Sebagai seorang hamba sayugialah hendaknya, segala manusia patuh dan taat kepada hukum syariat yang telah ALLAH sediakan melalui firman-NYA di dalam Al Quran serta melalui sunnah Rasulullah SAW.

Ada pun hukum syariat itu terbahagi lima :

1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat

2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat

3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal

4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan

5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri.

Hendaklah diri mu melaksanakan perintah suruh dari ALLAH iaitu yang wajib dan sunat. Hendaklah juga diri mu melaksanakan perintah tegah dari ALLAH iaitu yang haram dan yang makruh. Maka usahakanlah perkara yang harus menjadi ibadah.

Inilah matlamat hidup mu di dunia dan inilah juga matlamat perjuangan mu dalam menuju ke negara akhirat, negara yang kekal abadi. Sama ada engkau bersendirian, mahu pun engkau berjemaah.

Inilah yang dinamakan SYARIAT .....

**********************************


Aku termanggu ..... masih basah diingatan ku kata-katanya walau sudah lebih 20 tahun kalimahnya terlafaz. Nasihat berharga yang menjadi warisan turun temurun. Nasihat-nasihat itu juga yang sering ku sampaikan kepada ahli keluarga ku, anak-anak ku dan para pelajar ku.

Akal ku semakin teruja menggali khazanah kata-kata arwah datuk ku yang tersimpan di kotak fikiran ku ........

Setiap sesuatu bermula dengan ILMU.

*********************************

Dan setiap sesuatu itu hendaklah bermula dengan ILMU. Andai diri mu ingin melakukan kejahatan, hendaklah dengan ilmu. Lebih-lebih lagi jika diri mu hendak melakukan kebajikan dan ketaatan, juga hendaklah bermula dengan ilmu. Maka sewajarnya seorang yang ingin menjadi hamba kepada ALLAH mempunyai ilmu agar kasih sayang, rahmat dan keampunan ALLAH dapat diraih sebagaimana yang dikehendaki oleh ALLAH.

Dan ilmu yang pertama dan utama adalah ILMU TAUHID, ilmu yang mengenalkan diri mu dengan ALLAH Yang Maha Agung Lagi Maha Kaya. Ilmu yang bersangkut paut dengan persoalan aqidah dan kepercayaan, merangkumi persoalan rukun iman dan kalimah syahadah.

Dan ilmu yang kedua ialah ILMU FEQAH, terkandung hal ehwal ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah. Ilmu yang mengajar diri mu kaedah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH.

Dan ilmu yang ketiga ialah ILMU TASAUF, menyuluh hal ehwal kerohanian atau hati kita, agar tetap lurus mentaati ALLAH dan Rasul NYA tanpa di pesongkan oleh bisikan musuh-musuh ALLAH yang sering mengajak ke arah kemungkaran.

Ketiga-tiga ilmu inilah dinamakan ilmu syariat. Hukum mempelajarinya adalah FARDHU AIN. Wajib dipelajari dan wajib diamalkan.

Setelah diri mu mengamalkan syariat , barulah diri mu sudah bersedia melangkah ke jalan TARIQAT.

Dan orang yang bersungguh-sungguh mengamalkan syariat, mereka melaksanakan segala yang wajib dan berusaha melaksanakan segala yang sunat. Mereka meninggalkan segala yang haram dan berusaha meninggalkan segala yang makruh. Mereka menjadikan perkara yang harus berpahala. Mereka itulah orang yang sebenar-benarnya bertariqat.


************************************


Kitab Tauhid - Risalah Tauhid & Faridatul Faraid

Kitab Feqah - Matla'al Badrin, Sabilal Muhtadin, Furu' Masail

Kitab Tasauf - Bidayatul Hidayah, Minhajul Abidin, Al Jauhar Al Mauhub, Al Qatrul Ghaisiyah.

Itulah antara kitab-kitab yang sempat ku tadah, bertalaqqi bersama arwah datuk ku dan arwah ayah ku.

Tariqat ... kata dasarnya adalah tariq, iaitu jalan. Tariqat adalah jalan yang dilalui oleh Rasulullah dan jemaah para sahabat. Tariqat Ahlus Sunnah wal Jamaah. Iaitu jalan yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan jemaah para sahabat dari segi tauhid, feqah dan tasauf.

Pesan datuk ku tentang matlamat bertariqat dan syarat bertariqat.


*************************************

Hendaklah diri mu sempurna dalam menuntut ilmu syariat yang fardhu ain dan hendaklah diri mu istiqamah beramal dengan syariat. Maka tertegaklah hukum dan kalimah ALLAH di dalam diri mu. Itulah syarat utama dalam menyelusuri ilmu tariqat yang memperteguhkan hati ke jalan iman.

Tiada yang lain dalam bertariqat melainkan untuk lebih mudah menghampirkan diri kepada ALLAH agar diri mu dapat mengabdikan diri kepada NYA dengan pengabdian yang ikhlas penuh rasa kehambaan. Lantas akan terzahir keindahan dan kemanisan dalam beribadah. Kerana amal tariqat mendidik hati untuk hanya taat dan patuh serta mencintai kepada ALLAH Yang Maha Esa.

Dan tidaklah dinamakan bertariqat seandainya diri mu masih jahil tentang ilmu syariat. Dan tidaklah juga dinamakan bertariqat seandainya diri mu tidak beramal dengan syariat walau ianya (ilmu syariat) itu di dalam pengetahuan mu. Kerana tertegak jalan tariqat bersandarkan syariat yang terangkum di dalamnya Tauhid, Feqah dan Tasauf.

Tariqat adalah satu jalan menuju kasih sayang ALLAH. Syariat adalah cahaya penyuluh di atas jalan yang zulumat dan penuh godaan. Jalan tariqat dihiasi godaan dan bujukan dunia, nafsu dan syaitan. Hanya syariat yang mampu membezakan antara seruan iman dan godaan dari musuh-musuh yang ingin menyesatkan. Dan ingatlah, sesungguhnya jalan kebenaran itu pahit dan penuh derita kerana di depannya syurga yang manis. Maka tempohilah jalan tariqat ini berbekalkan ilmu dan amal syariat bersama sifat khauf dan raja’. Agar terhindar dan aman hati mu dari riya’ dan ujub yang memusnahkan amal ibadah mu. Lebih-lebih lagi terhindar diri mu dari tertipu oleh dunia, nafsu dan syaitan yang menyebabkan diri mu terjerumus ke lembah kehinaan di dunia dan di akhirat.

Ingatlah !!!

Tiada tariqat tanpa syariat. Tariqat ahli tasauf hanyalah suatu jalan pilihan yang tidak wajib tetapi amat bermanfaat dan bermakna. Hanya layak bagi mereka yang sudah kemas ilmu dan amal syariatnya. Tariqat yang wajib adalah melaksanakan hukum syariat.


*******************************


Perlahan ku susun mutiara ilmu arwah datuk ku, agar tekad untuk beramal kembali subur dalam diri ku.


******************************

Carilah oleh mu guru yang mursyid, yang mampu membimbing mu dalam beramal syariat dan beramal tariqat. Guru yang mursyid bukan hanya alim di bidang syariat, malah juga mampu membimbing diri mu beramal dengan syariat. Sifat seorang guru yang mursyid adalah :


1.Seorang yang berpaling dari mencintai dunia dan berpaling dari mencintai darjat pangkat.

2.Dirinya berguru dengan guru yang mursyid. Gurunya pula berguru dengan guru yang mursyid. Guru kepada gurunya berguru pula dengan guru yang mursyid dan begitulah rantaian perguruan sehinggalah si guru bersambung perguruannya dengan para sahabat dan Rasulullah SAW.

3.Seorang yang mampu melaksanakan amal perkara yang wajib dan sunat serta mampu meninggalkan amal perkara yang haram dan makruh. Peribadi dan hidupnya dihiasi dengan amal ibadah. Banyak puasanya, sedikit percakapannya melainkan yang terlafaz hanyalah tarbiah dan dakwah.

4.Seorang yang indah akhlaknya di mata dan terkesan di hati. Sehingga tiada ruang untuk diri mu mencari cela dirinya.

Apabila engkau temui guru seperti ini, berbaiahlah kepadanya dan pintalah ijazah daripadanya. Nescaya hidup mu terpimpin dan terdidik oleh sang murabbi. Kerana dirinya terserlah nur dari anwar Rasulullah SAW yang layak untuk diikuti. Kerana bukan mudah untuk umat manusia temui guru yang mursyid sebagaimana sukarnya menemui belerang yang merah.

Andainya engkau masih belum temui guru yang mursyid, maka dekatilah guru bersifat murabbi sambil diri mu berusaha mencari syeikhul mursyid. Dan ingatlah bahawa bahawa tugas sebagai seorang murabbi menuntutnya untuk memikul tanggungjawab yang berat.

Tanggungjawab tersebut adalah :

Pertama : Dirinya harus mencintai muridnya seperti mencintai anaknya sendiri.

Kedua : Dirinya mengikuti teladan dan contoh Rasulullah SAW dalam erti tidak boleh mengharapkan imbalan dan upah dari pekerjaannya selain mendekatkan diri kepada Allah.

Ketiga : Dirinya harus mengingatkan muridnya bahwa tujuan pendidikan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan untuk kekuasaan dan kebanggan diri.

Keempat : Dirinya harus mencegah muridnya dari memiliki watak dan perilaku jahat.

Kelima : Dirinya tidak boleh merendahkan ilmu lain di hadapan muridnya

Keenam : Dirinya mengajar murid-muridnya hingga batas kemampuan pemahaman mereka.

Ketujuh : Dirinya harus mengajarkan kepada murid yang terbelakang dengan jelas dan sesuai dengan tingkat pemahamannya yang terbatas.

Kedelapan : Dirinya harus melakukan terlebih dahulu apa yang diajarkannya dan tidak boleh berbohong dengan apa yang disampaikannya.

Inilah sifat dan syarat seorang guru mursyid yang bakal menjamin kejayaan dalam membimbing murid meniti di jalan tariqat berpandukan syariat.

******************************

Datuk ku pernah berpesan tentang jalan duniawi yang penuh godaan yang menipu daya. Datuk ku juga pernah berpesan tentang jalan tariqat yang juga penuh godaan yang menipu daya tetapi punya jalan keselamatan.

****************************

Dan ingatlah, bahawa telah ramai salik (orang yang ingin menghampirkan diri kepada ALLAH) yang tertewas di jalan menuju ALLAH. Kerana ghurur (tertipu) dek kerana menyahut godaan dunia, nafsu dan syaitan. Kesemuanya musnah kerana berjinak-jinak dengan sifat ujub dan riya’.

Telah ramai para salik dan ahli kerohanian yang tertipu dengan amalannya kerana UJUB dan RIYA'.

Syariat adalah penyuluh jalan tariqat. Tariqat adalah jalan yang menuju destinasi cinta hakiki. Bukannya matlamat. Matlamat dalam bersyariat dan tariqat adalah menjadi hamba yang sebenar-benar hamba yang mengabdikan diri hanyasanya kepada ALLAH. Tanda kasih saying dan ampunan ALLAH dicapai ialah rasa HAKIKAT.


Maka telah ramai salik yang terpedaya dengan tipuan dunia, nafsu dan syaitan.

Rasa-rasa hati, pengalaman kerohanian ciptaan syaitan, menyebabkan para salik tertewas dan tersungkur jatuh di saat akhir perjuangan.

Ingatlah !!!

Ada empat perkara seseorang dianugerahkan pengalaman kerohanian.

1.Pertama : Kerana dirinya dicipta dan dilahirkan untuk mendapat kasih saying ALLAH. Mereka inilah para Rasul dan para Nabi.

2.Kedua : Kerana dirinya berusaha menuntut ilmu syariat dan beramal dengan ikhlas lalu ALLAH sayangkan dirinya lalu ALLAH rezekikan dengan pengalaman kerohanian.

3.Ketiga : Kerana menumpang berkat orang yang soleh.

4.Keempat : Kerana dirinya banyak melakukan dosa dan mungkar tetapi masih mampu mengalami pengalaman kerohanian. Maka tidak lain ianya adalah istidraj. Agar behagiannya di akhirat nanti hanyalah azab siksaan.

Oleh itu wahai salik, andai diri mu beroleh pengalaman kerohanian, sayugia rujuklah ianya kepada mursyid mu agar diri mu tahu antara empat sumber, sumber yang manakah pengalaman kerohanian itu bermula.



2011 ... sekali lagi ku jejakkan kaki ku di Wilayah Istimewa Yogjakarta .... tempat kelahiran arwah datuk ku .... sejak tiba ... tidak putus SMS dari kaum keluarga ku di situ yang menjemput ke rumah mereka di Bata Ganting, daerah Kraton.... maaf ahlil bait ... aku ada urusan lain ... insyaALLAH aku akan ke sana bulan hadapan ....



Pelabuhan Selatan, Yogjakarta .... disitulah tempat mendaratnya Sayyid Umar Abd Rahim Sutodrono As Syaibani sekitar tahun 1770-an dari Hadramaut .... dari situ musafirnya terhenti di Wonosobo yang mengambil masa perjalanan 10 jam dengan bas, merentasi banjaran gunung dan lereng curam .... Bagaimana agaknya tahun 1770-an ? Dulu tidak ada pengangkutan modern dan jalan tar ... mungkin juga daerah Wonosobo merupakan hutan belantara ... Hanya orang yang benar-benar mempunyai tekad dan misi yang bisa menerobos jalan dan membina penempatan di daerah ini.

Aku sempat meninjau tapak rumah tempat kelahiran Syeikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi di Sudagaran, Wonosobo. Sebuah masjid gagah berdiri di bekas tapak rumahnya. Di situlah bermula perjuangannya.

Dari Sudagaran ke Kaligantung .... dari lembah permai ke kemuncak banjaran yang damai .... Lokasi yang strategik bagi membina kubu pertahanan ... dan menjadi tempat yang cukup tenang untuk beruzlah ... Di era 2011 juga terasa betapa mencabar melalui jalan di lereng banjaran untuk ke Kaliguntung .... apatah lagi di tahun 1770-an yang segala-galanya serba kuno .... HANYA YANG BENAR-BENAR MEMPUNYAI CITA-CITA yang bisa bertapak di situ .....

Sayid Umar Abdul Rahim As Syaibani .... merantau dari Hadramaut ke Yogjakarta, Pulau Jawa ... bersama satu misi .... MENEGAKKAN HUKUM SYARIAT ALLAH di muka bumi ini .... Sekitar tahun 1825 hingga 1830 ... berlaku Perang Jawa atau Perang Deponogoro. Perang yang mengorbankan 200,000 jiwa demi mempertahankan Islam dari dinoda oleh kekufuran Belanda .... Syeikh Umar Abdul Rahim As Syaibani berdiri di sisi Pangeran Deponogoro sebagai senapati (disebut Dewa Perang oleh tentera Hindu yang bersekongkol dengan Belanda) yang tak pernah gentar berdepan dengan Belanda. Malah namanya adalah sebaris senapati (Panglima Besar) kepada Pangeran Deponogoro yang lain seperti Kiai Maja dan Sentot Alibasyar. Bedanya cuma, nama Sayid Umar Abdul Rahim As Syaibani tidak tercatat sebagai senapati yang menyerah diri kepada Belanda setelah Perang Deponogoro berpihak kepada Belanda. Kerana jasanya dalam jihad Deponogoro, Sayid Umar As Syaibani di anugerahkan gelaran SUTODRONO.

Hanya orang yang mempunyai IMAN yang teguh saja yang mampu mengharungi segala kepayahan demi melihat kalimah ALLAH tertegak di muka bumi.

Dan fikiran ku melayang lagi .... satu persatu kata-kata pesanan arwah datuk ku datang bertamu .... intipatinya pernah ku coretkan dalam notes ku di link Rahsia Iman ... Kunci Cinta Sejati (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/rahsia-iman-kunci-cinta-sejati.html)

Tentang IMAN .....

*****************************

Ketahuilah oleh mu bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain. Dan tiadalah yang lebih berharga melainkan memberi manfaat iman dan Islam. kerana iman itu harta yang paling berharga, kerana iman yang sebesar zarah mampu menyelamatkan diri dari menjadi bahan bakar api neraka.

Sesungguhnya orang yang sebenar-benar beriman ialah seperti disebut oleh ALLAH di dalam Al Quran (Al Anfal : 2) :

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Al Anfal : 2)

Andainya diri dan hati mu masih tidak terkesan dan gementar tatkala kalimah ALLAH dilafazkan, sedarilah bawa diri mu masih jauh dari iman yang haq dan pastinya lebih jauh dari sifat TAQWA, kerana iman yang haq itu adalah sesuatu yang dibenarkan oleh hati, diiqrarkan dengan lisan dan di amalkan dengan perbuatan. Inilah takrifan iman.

************************************

Itulah antara ungkapan muqaddimah arwah datuk ku sebelum mensyarahkan persoalan iman dari Kitab Al Jauhar Al Mauhub di madrasah usangnya yang hanya menempatkan anak-anak fakir miskin dan yatim .....

Sedikit sebanyak, cara-cara mendapatkan iman dan menguatkan iman demi kebahagaiaan dan ketenangan hati, pernah ku tulis dalam notes ku berdasarkan syarahan arwah datuk ku. Sahabat-sahabat sekelian boleh membaca semula di link berkenaan (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/jalan-iman.html)

Iman adalah syarat untuk mencapai maqam taqwa ... Taqwa itu penting kerana ......

*************************************

Dan ingatlah, bahawasanya nilai manusia di sisi ALLAH itu bukanlah disebabkan oleh pangkat dan nasab keturunan. Tidak juga kerana ilmu yang menggunung. Lebih-lebih lagi bukan harta yang terkumpul.

Seseorang yang kuat berjuang, gelaran selayaknya hanyalah mujahid.

Seseorang yang luas lautan ilmunya, gelaran selayaknya hanyalah alim.

Seseorang yang banyak ibadahnya, gelaran selayaknya hanyalah a'bid.

Seorang yang banyak bersedekah, gelaran selayaknya hanyalah munfiq.

Seorang yang gigih berdakwah, gelaran selayaknya hanyalah da'ie.

Kesemuanya belum tentu layak beroleh gelaran muttaqin (yang betaqwa) di sisi ALLAH, kerana mereka belum tentu selamat dari ujub dan riya'.

Ada pun, taqwa itu adalah melakukan segala apa yang ALLAH suruh dan meninggalkan segala apa yang ALLAH tegah.

Andainya engkau mahu dicintai ALLAH, rebutlah maqam taqwa. Kerana taqwa menjanjikan ketenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat ....

********************************************

Taqwa, nilai manusia disisi ALLAH ... sejauh mana usaha kita untuk mencapai maqam taqwa ? Aku pernah menulisnya dalam notes ku di link berikut. http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/10/taqwa-nilai-manusia-di-sisi-allah.html

Sebagaimana tidak jemu Khatib memberi pesanan taqwa di atas mimbar setiap Jumaat. Begitu jugalah arwah datuk ku yang tidak lepas memberi pesanan taqwa. Kerana hanya taqwa yang menjadi nilaian di sisi ALLAH. Bukan pangkat dan nasab keturunan, harta yang bertimbun dan . Ini hakikatnya ....

Masih basah diingatan ku ...intipati khutbah Jumaat oleh arwah datuk ku seminggu sebelum dia kembali ke rahmat ALLAH ....

************************

Wahai para hartawan .... ingatlah .... timbunan harta mu tidak bernilai di sisi ALLAH tanpa sifat taqwa. Andainya engkau bermegah-megah dengan kemewahan mu di kala jiran mu kebuluran, bersedialah menghadapi hisab yang amat berat di mahsyar. Hanya sifat taqwa yang bisa menyelamatkan mu dan mendidik diri mu menjadi bayangan Saidina Abdul Rahman Bin Auf.


Wahai para umarak ... ingatlah .... kekuasaan mu hanyalah bagai segelas air di tengah padang pasir. Di kala engkau kehausan, takhta, kekuasaan dan kebesaran sudah luput dari hati sanubari mu. Yang engkau dambakan hanyalah segelas air di tengah padang pasir. Begitulah bidalan kerajaan milik mu yang TIDAK SETARA kerajaan milik ALLAH kerana nilaian ALLAH hanyalah taqwa. Sejauh mana engkau mampu melaksanakan yang wajib dan sejauh mana engkau mampu menjauhi yang haram dan menghiasi hidup mu dengan amalan sunat, sejauh itulah nilaian ALLAH atas amal taqwa mu. Malah kerajaan dan rakyat milik mu menjadi bebanan buat diri mu atas kemungkaran dan maksiat yang mereka lakukan. Sedarlah bahawa sebelah kaki mu di dalam syurga dan sebelah lagi di dalam neraka. Maka perbanyakkanlah taubat agar subur rasa kehambaan dalam diri mu. Lantas engkau tidak akan berpaling dari kebenaran sebagaimana Umar Abdul Aziz yang meratai keadilan kepada rakyatnya hingga serigala bisa duduk sekandang bersama kambing gembalaan.


Wahai para ulamak .... ingatlah .... lautan ilmu mu tidak berguna andainya engkau tidak terjun ke tengah masyarakat untuk mendidik mereka ke jalan iman dan taqwa. Andainya diri mu lalai dan berpaling dari menjadi murabbi, nescaya malanglah nasib mu di akhirat sana. Ilmu mu itu sendiri yang akan mencampakkan diri mu ke lembah azab sengsara. Maka suburkanlah sifat taqwa dalam diri mu agar ilmu mu menjadi jariah buat mu di akhirat sana. Ketahuilah, bahawa iman dan Islam itu tidak mengenal batas sempadan negara dan bangsa. Selagi kudrat mu masih bernyawa, sampaikanlah ilmu dan didiklah umat sebagaimana Abu Hassan Al Asy'ari, Muhammad Bin Idris As Syafie dan Abu Hamid Mohamad Al Ghazali, agar umat ini kenal Tuhan yang selayaknya di sembah dan kenal akan hukum syariat ALLAH SWT.

Wahai para bangsawan .... ingatlah .... bahawa iman dan taqwa itu bukan warisan. Sejauh mana engkau mentaati perintah ALLAH dan sejauh mana engkau menjauhi larangan ALLAH, sejauh itulah kasih sayang ALLAH bersama diri mu. Andainya diri mu masih berlazat-lazatan dengan dosa dan kemungkaran, tiada erti nilai kebesaran dan keagungan darah nasab keturunan. Kerana yang di nilai oleh ALLAH di akhirat kelak HANYALAH TAQWA. Walau setinggi mana mulia nasab keturunan mu, apakah sama dengan amalan Mus'ab Bin Umair ? Walau lahirnya sebagai bangsawan, hidupnya bagaikan fakir miskin dan matinya sebagai syuhadak. Ketahuilah oleh mu bahawa medan Uhud menjadi saksi bahawa jasad syuahadak Mus'ab Bin Umair hanya ditutupi oleh pelepah tamar kerana kefakirannya diluar kemampuan untuk memiliki kain yang mencukupi. Andainya amalan mu tidak setara Mus'ab Bin Umair, sedarilah bahawa diri mu masih jauh dari sifat taqwa dan masih jauh untuk di nilai oleh ALLAH sebagai muttaqin.


Wahai para da'ie .... ingatlah .... segigih mana usaha mu menyeru ke arah ma'aruf dan mencegah kemungkaran, tak kan sama pengorbanan para sahabat Rasulullah SAW di jalan ALLAH, lebih-lebih lagi takkan sama pengorbanan Rasulullah SAW yang menggadaikan keseluruhan hidupnya untuk iman dan Islam. Tanyailah diri mu, apakah kemahsyuran yang kau dambakan dalam berdakwah atau apakah nikmat iman dan Islam menjadi milik umat manusia yang ingin kau wariskan ? Apakah setara usaha dakwah mu dengan Muaz Bin Jabal yang berjalan kaki dari Madinah ke bumi Yaman semata-mata menyampaikan seruan Islam tanpa meminta upah walau setitis air mahu pun sebutir gandum ? Ketahuilah, sesungguhnya jalan menuju ALLAH itu penuh onak, ranjau dan kepahitan ... kerana di hujung perjalanan itu adalah syurga yang manis. Maka berlemah lembutlah, berlemah lembutlah, lantas berani kerana benar !!! Kerana ini adalah salah satu sifat taqwa.


Wahai para sufi .... ingatlah .... tanggungjawab mu bukan sekadar berwirid zikir, tetapi lebih kepada menghampirkan diri kepada ALLAH. Sayugianya orang yang hampir kepada ALLAH menjadi juara dalam mendidik masyarakat ke arah iman dan taqwa. Kerana dengan hampirnya diri mu kepada ALLAH, maka tersingkap segala rintangan dan dipermudah segala urusan berkat kasih sayang dan rahmat ALLAH kepada mu. Anugerah sufi tidak sepatutnya menjadikan diri mu jumud dan berselindung di sebalik tasbih dan suluk untuk tidak berjuang. Sebaliknya engkaulah yang sepatutnya memimpin umat ke arah melaksanakan titah perintah ALLAH dan menghindari larangan ALLAH sebagaimana Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi.

Wahai para muslimin ... ingatlah .... sebanyak mana dan segigih mana engkau beribadah .... jangan sesekali hati mu berjinak-jinak dengan rasa ujub dan riya'. Ketahuilah, bahawa ujub dan riya' itulah pemusnah segala amalan. Sedekah para hartawan tiada nilai di sisi ALLAH kerananya. Khidmat para penguasa dan umarak tiada nilai di sisi ALLAH kerananya. Ilmu para alim ulamak tidak menjadi jariah kerananya. Kemuliaan nasab keturunan menjadi hina kerananya. Pengorbanan para da'ie menjadi debu bererbangan kerananya. Zikir, wirid dan alam kerohanian para sufi menjadi tipu daya semata kerananya. Dan hakikatnya adalah, Azazil menjadi Iblis kerananya.

Ketahuilah oleh mu bahawa jalan ujub dan riya' bukan dari jalan tariqat dan bukan dari jalan menuju ALLAH. Andainya rasa ujub dan riya' itu yang engkau pilih, sama sekali binasalah hidup mu di dunia dan azab sengsaralah diri mu di akhirat.

*************************


Lamunan ku terhenti .... aku sudah sampai di Kaliguntung untuk menziarahi Yang Umar Sutodrono .... semoga ALLAH mengharumkan pusara mu dengan haruman yang semerbak dan sejahtera ............



Perjalanan menuju ke Alas Ketonggo bermula ...

Fikiran ku kembali melayang .... teringat kisah para auliya yang sering diceritakan oleh arwah datuk ku kepada kami adik beradik setiap kali menjelang larut malam.

Bertemankan lampu karbaid, atok akan duduk bersila di sebelah tempat pembaringan kami adik beradik sambil mata tuanya menatap Kitab Tazkiratul Auliya' oleh Sheikh Fariduddin Attar.


Wajahnya yang semakin di mamah usia, tekun membaca kitab kuning tersebut dan melafazkan kisah-kisah para kekasih ALLAH. Gaya bahasa dan cara olahan ceritanya bagaikan atok berada dan melihat sendiri kisah-kisah mereka.

Kakak ku gemar mendengar kisah Rabiatul Adawiyah .... Abang ku menggilai Yazid Bustami ..... Abang ku yang seorang lagi tersentuh kisah Malik Bin Dinar .... Adik ku meminati kisah sementara Hassan Al Basri .... sementara aku pula meminati kisah Uwwais Al Qarni ....

Abang : Loratlah kau ni ... balik-balik Uwwais Al Qarni. Ada banyak lagi cerita wali laaaa ... (herdik abang ku yang mungkin jemu atas pintaan ku kepada atok ku)

Kakak : Dah ulang berapa kali cerita tu. Kita dengar cerita yang lain pulaklaaa .... (kakak ku mengomel, mungkin kerana dia ingin mendengar kisah Rabiatul Adawiah)

Adik : Cerita Uwwais Al Qarni tak banyak keramatlaaa …………

Antara kisah-kisah para wali ALLAH, kisah kekeramatan yang aneh dan pelik, kekeramatan Uwwais Al Qarni yang jarang diceritakan. Sesuai dengan tarafnya sebagai seorang YANG TIDAK TERKENAL DI BUMI tetapi amat terkenal di langit.

Dan aku teringat cerita arwah atok ku berkenaan TINGKATAN PARA WALI

*********************

1. AQTAB (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Juga disebut Al Ghaits (Penolong). Bilangannya hanya ada seorang pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Ia adalah pemimpin bagi satu golongan (Qutub) pada zamannya, dan ia mempunyai kekuatan jasmani dan rohani yang tinggi. Pendekata ia adalah pemimpin yang amat berkuasa. Terkumpul dalam dirinya semua hal dan maqam. Dirinya menjadi penyelesai kepada semua masalah baik yang zahir mahu pun yang tersembunyi.

2. AIMMAH (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Memberi makna “para pemimpin”. Bilangannya hanya ada dua pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Aqtab bertindak sebagai penguasa (raja) maka Aimmah bertindak sebagai para menterinya. Bila Aqtab meninggal dunia, tempatnya akan digantikan oleh salah seorang Aimmah. Seorang mengetahui tentang alam malakut (alam ghaib rohani) dan seorang lagi mengetahui alam mulk (alam dunia jasmani).

3. AUTAD (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya empat pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Seorang di daerah Utara. Seorang di daerah Selatan. Seorang di daerah timur. Dan seorang di daerah barat. Arahnya boleh dilihat dari Kaabah. Gelaran-gelaran mereka ialah Abdul Hayyi, Abdul A’lim, Abdul Qadir dan Abdul Murid.

4. ABDAL (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Abdal adalah sebutan jamak, sementara Badal adalah sebutan tunggal. Bilangannya hanya tujuh pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Bertugas menjaga tujuh wilayah. Seorang mengikut jejak Nabi Ibrahim AS. Seorang mengikut jejak Nabi Musa AS. Seorang mengikut jejak Nabi Harun AS. Seorang mengiut jejak Nabi Idris AS. Seorang mengikut jejak Nabi Yusuf AS. Seorang mengikut jejak Nabi Isa AS. Seorang mengikut jejak Nabi Adam AS. Tugasnya menjaga kemaslahatan di sesuatu wilayah. Bila Badal ingin meninggalkan wilayahnya untuk menyelesaikan permaslahan sejagat atau untuk bertaqarrub kepada ALLAH atau untuk menghadiri Majlis Para Wali, Badal itu akan meninggalkan seseorang yang mirip dengan dirinya untuk mengawasi wilayah yang ditinggalkannya. Untuk mencapai maqam ini, hendaklah banyak berlapar, bangun malam, diam dan uzlah.

5. NUQABA (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya 12 pada setiap zaman. Tidak berlebihan dan tidak berkurangannya. Bilangannya sama dengan bilangan bulan hijrah, dan menyamai dengan bilangan gugusan bintang (galaksi) dan tata suryanya. Setiap Naqib (nama tunggal bagi Nuqaba) mengetahui khasiat dan hal ehwal bagi setiap gugusan bintang. Sangat alim akan SYARIAT, mampu menyingkap isi hati setiap insan dan mengetahui segala yang tersembunyi baik tipu daya nafsu, godaan syaitan, hatta amat mengetahui tentang Iblis itu.

6. NUJABA (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya lapan pada setiap zaman. Tidak berlebihan dan tidak berkurangan. Mempunyai kekuatan kerohanian yang tinggi walau mereka tidak mengusahakannya. Tidak siapa yang mengenal mereka melainkan orang yang maqamnya lebih tinggi dari mereka. Tetapi pada dirinya terserlah tanda-tanda kekeramatannya.

7. HAWARIYYUN (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya satu pada setiap zaman. Tidak berlebihan dan tidak berkurangan. Tugasnya adalah untuk membela agama, sama ada bersenjatakan pedang mahu pun bersenjatakan hujjah. Ia dikurniakan ALLAH ilmu, ketekunan beribadah, hujjah, kemahiran berpedang, keberanian, dan keteguhan. Maqamnya adalah mempertahankan kebenaran agama sebagaimana yang di SYARIATkan.

8. RAJABIYYUN (Semoga rdha ALLAH atas mereka) : Bilangannya empat puluh pada setiap zaman. Tidak kurang dan tidak lebih. Tugas mereka hanya untuk mengagungkan Allah.Terlalu sedikit orang yang mengetahui dan mengenal mereka. Mereka tersebar di beberapa tempat, tetapi mereka saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Dinamakan Rajabiyyun kerana kekuatan kerohaniannya berada ditahap paling tinggi di bulan Rejab. Di hari pertama bulan Rejab, seorang Rajab merasa sangat berat seperti sedang memikul beberapa lapis langit, sehingga tidak mampu mengerdipkan mata dan menggerakkan anggota badan. Ia hanya mampu berbaring dan sama sekali tidak mampu bergerak, berdiri, duduk, menggerakkan tangan dan kaki, atau mengerdipkan mata. Keadaan tersebut berkurang sedikit demi sedikit pada hari kedua dan ketiga bulan Rejab. Lalu ia mengalami mukasyafah, tajaliyyat, dan mampu mengetahui hal-hal ghaib. Akan tetapi ia masih tetap dalam keadaan berbaring. Setelah dua atau tiga hari, ia baru mampu berbicara sampai akhir bulan. Apabila bulan Rejab telah habis dan masuk bulan Syaaban, barulah ia mampu berdiri seperti terlepas dari jeratan. Keadaan para Rajab ini aneh dan tidak diketahui sebabnya dan hanya terjadi di bulan Rejab.

9. KHATMU (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya ada satu sepanjang zaman, hanya ada satu di dunia. ALLAH menutup kewalian umat Muhammad SAW dengan kemunculannya. Tidak ada wali dari kalangan umat Muhammad SAW yang lebih besar daripada dia. Dia adalah penutup (khatm) terakhir yang dengannya ALLAH menutup kewalian yang ada dalam seluruh umat sejak Adam sampai wali yang terakhir. Dia adalah Nabi Isa AS.



Perjalanan di Alas Ketonggo diteruskan … merentasi denai dan belukar. Mengharungi arus jeram. Sambil fikiran ku masih melayang dan mengelamun akan pesanan-pesanan arwah datuk ku …

Apakah perasaan mu tatkala kamu berada di dalam istana sebagai seorang tetamu yang amat dihormati oleh ahli istana ?

Apa pula perasaan mu tatkala ketibaan mu di sambut penuh meriah bersama pukulan kompang, sambil direnjis air mawar dan kamu berjalan di atas permaidani merah yang dihamparkan buat mu oleh ahli-ahli istana ?

Apa pula perasaan mu tatkala kamu dihidangkan dengan juadah hidangan yang lazat dan diri mu bersantap bersama barisan orang kenamaan di dalam istana ?



Pasti ianya suatu pengalaman yang tak kan luput dari ingatan mu .....

Apakah perasaan mu tatkala kamu bertamu ke tempat guru mu sedangkan guru mu amat merindui untuk bertemu dengan mu ?

Apakah perasaan mu pula pabila ketibaan mu disambut oleh guru mu dengan tasbih dan tahmid sambil haruman ambar kasturi yang semerbak harum sejahtera menyelubungi diri mu ?

Apakah pula perasaan mu bila diri mu disajikan dengan santapan rohani penguat iman agar diri mu terus kekal atas kalimah tauhid agar diri mu terus menjadi hamba ALLAH yang mengabdikan diri kepada ALLAH sebagaimana diajar oleh guru mu ?

Pastinya ia merupakan satu rezki buat hati nurani mu. Rezki berkat yang mengundang rahmat dan maghfirah ALLAH SWT ......

Arwah datuk ku pernah berpesan ........


********************************************

Ketahuilah oleh mu ... bahawa karomah yang agung itu bukanlah seperti karomah Barsyisa yang mampu berjalan di udara. Bukan juga karomah yang agung itu seperti karomah Rijalul Ma' yang sujud kepada ALLAH bertahun-tahun di dasar lautan. Bukan juga karomah yang agung itu seperti karomah Imam Taqiyudiin yang mampu berjalan dan bersolat di atas air. Bukan juga karomah yang agung itu seperti karomah Ibrahim Adham yang mampu berbicara dengan pepohon dan haiwan.

Tetapi ... karomah yang agung itu adalah bila engkau mampu mendidik orang-orang jahat yang fasiq untuk menjadi orang yang beriman iyyan, kerana ianya mampu menyelamatkan umat manusia dari menjadi bahan bakaran api neraka ........

Oleh itu janganlah engkau terpesona dan tertipu dengan keajaiban atau pun keanehan. Lebih-lebih lagi yang terjadi dari golongan mutaakhirin yang peribadi mereka masih jauh dari peribadi salafussoleh. Kerana sesungguhnya nilai manusia di sisi ALLAH ialah sejauh mana manusia itu mampu melaksanakan yang wajib dan sunat serta meninggalkan yang haram dan makruh. Oleh itu tetaplah diri mu atas jalan iman, menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai panduan. Semoga engkau terhindar dari terjerumus ke lembah ghurur (tertipu) yang hina.


*********************************

Alam kerohanian merupakan alam yang luas. Ramai para salik yang tertewas akibat persiapan ilmu dan amal syariat yang tidak sempurna. Sebagai panduan dan jalan keselamatan, Imam Al Ghazali menulis dalam kitabnya Minhajul Abidin akan panduan yang perlu ditempuh oleh seseorang salik untuk menuju kepada ALLAH. Ringkasan intipati Minhajul Abidin adalah dihidangkan di notes JALAN IMAN (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/jalan-iman.html)

Antara sebab musabab kegagalan seseorang dalam menuju kepada ALLAH adalah disebabkan NIAT. Ramai yang beramal, tetapi niatnya semata-mata bukan untuk ALLAH, tetapi mempunyai cabang-cabang niat yang lain. Ada yang ingin mendapatkan pengalaman kerohanian. Ada yang ingin mendapatkan kemahsyuran. Ada yang ingin mendapatkan pangkat dan pujian. Ada yang memasang niat untuk beroleh keajaiban (karomah). Malah tidak kurang juga yang menyimpan niat untuk bersifat ujub dan riya’.

Sifat ujub dan riya’ pernah dihuraikan berdasarkan Kitab Siiras Salikin oleh Sheikh Abdus Samad Al Falembani di notes The Ultimate Destroyer (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/11/ultimate-destroyer.html)

Hakikatnya, keajaiban, kekeramatan, kemahsyuran, kekayaan, pangkat, pujian, kemuliaan nasab keturunan dan sebagainya bukanlah kayu ukuran sebenar dalam urusan mentaati ALLAH. Sebaliknya kesemua itu adalah ujian dari ALLAH, sama ada kita mampu menjadi hamba-NYA yang bersyukur. Seandainya kita mampu bersyukur, pastinya ALLAH akan menambahkan nikmat yang ada pada kita dengan nikmat-nikmat yang lain. Dan nikmat ALLAH yang terbesar yang pernah ALLAH anugerahkan kepada makhluk ciptaan-NYA adalah nikmat iman dan Islam. Iman mempunyai pelbagai tingkatan. Tingkatan yang mula menjamin keselamatan adalah tingkatan Iman ‘Iyyan.

Orang yang beriman dengan tingkatan 'iyaan, akan meletakkan dirinya sebagai seorang hamba walau di dunia dia memiliki pangkat dan jawatan yang tinggi pada kaca mata manusia. Hatinya sentiasa ingat pada Allah. Ketika bersendirian, dia mampu mengalirkan air mata kerana ingat kepada Allah. Ibadahnya khusyuk, tak leka dalam solat. Hati mereka sensitif dengan Allah. Mereka akan bersifat zuhud. Mereka mampu mendidik diri, ahli keluarga dan masyarakat untuk mengamalkan Islam. Mereka sentiasa dibantu oleh Allah jika berdepan dengan masalah. Jika berlaku musibah dia bersabar dan redha. Jika diberi nikmat, dia bersyukur dan tidak sombong. Mereka sentiasa merasakan diri mereka hina dan berdosa sambil terus memohon dan bermunajat pada Allah tanpa rasa putus asa. Jika berlaku masalah atau ditimpa musibah, dia akan muhasabah diri untuk menilai kejahatan diri sendiri. Jika dia melakukan dosa, dia akan segera bertaubat tanpa lengah. Mereka inilah yang DIPERMUDAHKAN hitungan amal mereka di akhirat dan dipermudahkan bagi mereka untuk memasuki syurga Allah.

Huraian lanjut berkenaan persoalan iman ini saya pernah bahaskan berdasarkan Kitab Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub oleh Sheikh Ali Bin Abdul Rahman Al Kelantani dalam notes Rahsia Iman … Kunci Cinta Sejati (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/rahsia-iman-kunci-cinta-sejati.html)

Maka sebab itu ALLAH hanya akan menilai sejauh mana kasih dan sayangnya ALLAH kepada seseorang insan adalah berdasarkan sejauh mana taqwanya kepada ALLAH. Dan sesungguhnya taqwa itu adalah melaksanakan apa yang ALLAH suruh sama ada yang wajib dan sunat serta meninggalkan segala yang ALLAH larang sama ada yang haram mahu pun yang makruh. Huraian atas nilai taqwa saya pernah bincangkan berdasarkan Kitab Faridatul Faraid oleh Sheikh Ahmad Ibnu Muhammad Al Fatani di notes TAQWA : Nilai Manusia Di Sisi ALLAH (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/10/taqwa-nilai-manusia-di-sisi-allah.html)

Ayuhlah kita bersama-sama berusaha atas iman dan taqwa, kerana sebaik-baik bekalan untuk kita kembali ke rahmat ALLAH di akhirat kelak adalah bekalan iman dan taqwa. Dan ingatlah .... Lembah yang rendah yang mampu menakung curahan air hujan yang banyak berbanding kolam air di puncak gunung. Begitu jugalah ilmu ALLAH yang dianugerahkan kepada hamba-hamba NYA. Hanya hati yang merendah diri dengan rasa tawadduk penuh kehambaan yang mampu menakung curahan ilmu menjadi lautan, bukan hati yang sombong dan takabbur